I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, January 19, 2010

Bahaya makan daging mengandungi beta-agonist

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan para pengguna
supaya mengelakkan daripada memakan daging lembu, kambing, dan babi
memandangkan ujian kami menunjukkan ia tercemar dengan salbutamol,
penambah pembesaran.

Dalam pensampelan secara rawak ke atas daging, tiga daripada enam
sampel yang diuji didapati mengandungi salbutamol beta-agonist. Sampel
daging ini dibeli dari pasar basah di sekitar Pulau Pinang.

Beta-agonist mampu menyebabkan insomnia (susah tidur), tangan
mengigil, keletihan, pening, gementar, berdebar dan memburukkan
keadaan jantung.

Kebanyakan pengguna tidak menyedari apabila mereka mengalami keadaan
seperti itu adalah disebabkan oleh dadah di dalam daging itu yang
telah menimbulkan masalah.

CAP amat terkejut apabila mendapati Kementerian Kesihatan tidak mampu
untuk mengawal penggunaan beta-agonist di dalam daging oleh penternak
walaupun mengetahui masalah itu.

Pada Jun 2004, Kementerian Kesihatan mengetahui fakta bahawa petani
tempatan menggunakan beta-agonist untuk menghasilkan lebih banyak
daging untuk pasaran. Menurut Kementerian Kesihatan antara 70% dan 84%
daging lembu dan babi mengandungi dadah itu.

Pada Mei 2003, CAP telah membangkitkan perkara ini kepada Kementerian
Kesihatan memandangkan persampelan secara rawak oleh kami ke atas
sampel daging babi mengesan salbutamol beta-agonist dalam dua daripada
lima sampel yang diuji.

Sampel daging babi yang diuji dibeli daripada pasar basah di Pulau
Pinang dan Bukit Mertajam.

Adalah satu ironi bahan seperti beta-agonist, dadah yang disenaraikan
di bawah jadual beracun boleh diperoleh dengan mudah oleh penternak.

Memandangkan situasi ini, Kementerian Kesihatan perlu menyiasat
daripada pembekal beta-agonist tempatan kenapa bahan ini dengan mudah
diperoleh walaupun undang-undang sedia ada mengawalnya.

Pada masa yang sama pihak kementerian juga tidak menafikan kemungkinan
beta-agonist yang digunakan oleh penternak diperoleh secara haram.

Penggunaan beta-agonist dalam makanan binatang diharamkan di bawah
Akta Makanan 1983.

Pada Julai 2001, Kementerian Kesihatan berjanji bahawa tiada lagi
beta-agonist akan ditemui dalam daging. Setiausaha Parlimen
Kementerian Kesihatan, S. Sothinathan berkata, pihak kementerian yakin
untuk menghapuskan bahan kimia itu, memandangkan beta-agonist (dadah
yang biasanya digunakan untuk merawat asma) ditemui semakin
berkurangan dalam babi.

Menurut beliau, dengan undang-undang yang lebih ketat dan meningkatnya
penguatkuasaan, kes seperti itu akan dihapuskan sepenuhnya.

Kenyataan ini amat jauh sekali daripada kebenarannya memandangkan
penggunaan dadah seperti beta-agonist telah meningkat dalam tempoh
beberapa tahun yang lalu.

Kehadiran beta-agonist dalam daging babi dilaporkan dengan meluas di
dalam media pada masa lalu.

Pada Mei 1998, pihak berkuasa kesihatan Johor telah mengesan
beta-agonist dalam daging babi selepas menguji 42 sampel yang
diperoleh dari pasar basah di negeri itu.

Pada September 1999, Kementerian Kesihatan mengeluarkan amaran kepada
industri ternakan terhadap penggunaan beta-agonist secara haram dalam
makanan ternakan.

Kementerian berjanji untuk menjalankan penguatkuasaan besar-besaran di
seluruh negara dan mengenakan denda yang lebih berat terhadap mereka
yang didapati bersalah menggunakan dadah terutama.

Pada September 2000, tiga pengendali rumah sembelihan dari Butterworth
didenda RM10,000 setiap satu oleh mahkamah kerana menjual daging babi
yang mengandungi penambah pembesaran salbutamol.

Memandangkan kepada keadaan pada masa kini, CAP menggesa Kementerian
Kesihatan menjalankan ujian di seluruh negara ke atas semua jenis
daging untuk mengesan kehadiran beta-agonist, memandangkan penggunaan
penambah pembesaran ini tidak hanya terhad kepada babi tetapi juga
binatang ternakan lain seperti kambing, biri-biri, dan lembu.

Sementara itu pengguna perlu mengelakkan daripada memakan daging
sehingga Kementerian Kesihatan dapat membuktikan bahawa daging yang
dijual di pasaran bebas daripada beta-agonist.

- S. M. MOHAMAD IDRIS,

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

p/s : agak2 puyuh ada x benda allah ni aa?... hahahah....

1 comment:

  1. puyuh je bebas dari segala sintom2 kt ats tu so pas nie korang order la puyuh kat aku hahaha...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails